Membina Pergerakan di Luar Talian
Berikut adalah refleksi daripada salah seorang sukarelawan kami mengenai pengalaman mereka melakukan kempen dari pintu ke pintu.
Oleh Karissa
Pada permulaan sesi kempen dari pintu ke pintu yang terakhir dengan TJC, fikiran saya terganggu dengan berita-berita terkini mengenai TJC dan kolektif serta aktivis lain yang menjadi mangsa POFMA, "shadow-banning," dan malah penyingkiran sepenuhnya (ini berlaku kepada Workers Make Possible pada awal minggu tersebut, walaupun kini sudah kembali).
Walaupun platform dalam talian dapat menjangkau ramai orang, kita kena tahu ia tidak sempurna dan boleh terjejas oleh pelbagai faktor -kuasa negara atau syarikat gergasi yang mengendalikannya.
Berbeza dengan ruang dalam talian yang semakin dikawal dan ditapis, ia sungguh menyegarkan apabila dapat melakukan kempen dari pintu ke pintu dengan TJC dan berfikir tentang cara kita boleh membina pergerakan di luar talian.
Sekiranya suatu hari nanti kita tidak lagi boleh mengakses akaun digital kita, atau platform yang kita gunakan menjadi sangat memusuhi kita, bagaimana kita memastikan kita kekal berhubung antara satu sama lain dan teruskan pergerakan ini? Apa yang perlu kita bina untuk mencapai ini?
Sudah tentu, satu sesi rumah ke rumah tidak akan serta-merta menyatukan kita semua dalam komuniti, menjadikan kita bersedia untuk berjuang. Walau bagaimanapun, ia adalah satu peringatan yang baik mengapa sesi ini penting dan berbaloi, dan potensi yang dibawanya selain daripada untuk mendapatkan tandatangan penduduk untuk petisyen.
Mengingati semula mengapa kita melakukan kerja ini adalah sama penting. Kerana hakikatnya, misi rumah ke rumah ini bukanlah sesuatu yang selesa.
Tak selesa bila nak ketuk pintu orang yang kita tak kenal. Tak selesa nak mulakan perbualan dengan orang yang nampak sangat tak nak layan kita. Lagi tak selesa bila nak terangkan topik rumit dengan bahasa yang kita sendiri tak berapa fasih.
Tetapi dengan mengingati sebab kita melakukannya, ia membantu kita untuk lebih berani menghadapi rasa tidak selesa itu. Hanya dengan cara itu barulah kita dapat membina cara-cara baharu untuk saling berhubung dan mengambil berat antara satu sama lain.
Tinggalkan Balasan